DASAR KPM Aktiviti kokurikulum adalah sebahagian daripada kurikulum sekolah, dan
setiap murid harus melibatkan diri. Aktiviti ini boleh dijalankan di dalam dan
di luar bilik darjah, mengikut kesesuaian sesuatu aktiviti. "Kurikulum
Kebangsaan” ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan
kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan,kemahiran, norma, nilai, unsur
kebudayaan dan kepercayaan, untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan
sepenuhnya dari segi jasmani, rohani,mental dan emosi serta untuk menanam dan
mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan."
Rujuk Subperaturan 3(1) dalam Peraturan-peraturan (kurikulum Kebangsaan)1997
yang diterbitkan sebagai P.U.(A) 531/97. Sebagai sebahagian daripada Kurikulum
Kebangsaan, maka pelaksanaan kokurikulum di sekolah adalah wajib. {Rujuk Seksyen
18, Akta Pendidikan 1996 V Akta 550)} Kegagalan atau keengganan melaksanakan
kegiatan kokurikulum disekolah adalah suatu kesalahan dan apabila disabitkan
boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh
tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya {Rujuk Subseksyen 135(1) Akta
Pendidikan 1996 Akta 550)} dan jika kesalahan itu dilakukan secara berterusan,
maka apabila disabitkan sedemikian, seseorang itu dikenakan hukuman denda harian
yang tidak melebihi lima ratus ringgit sebagai tambahan kepada apa-apa penalti
lain yang boleh dikenakan kepadanya di bawah Akta ini berkenaan dengan kesalahan
itu, bagi setiap hari kesalahan itu terus dilakukan. {Rujuk Subseksyen 35(2)
Akta 550}. KANDUNGAN KEGIATAN KOKURIKULUM Kandungan Kegiatan Kokurikulum Di
Sekolah: Kegiatan Kokurikulum di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan akan
mengandungi yang berikut:- (a) penyertaan dalam sukan dan permainan; (b)
penyertaan dalam persatuan dan kelab; (c) penyertaan dalam badan beruniform; dan
(d) penyertaan dalam kegiatan-kegiatan lain sebagaimana ditentukan oleh Menteri.
Rujuk Subperaturan 3(3) dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum
Kebangsaan) 1997 yang diterbitkan sebagai P.U. (A) 531/97. Kegiatan Kokurikulum
di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan meliputi kegiatan dalam persatuan yang
ditubuhkan di sekolah daripada kategori berikut:- (a) mata pelajaran yang diajar
di sekolah sebagaimana yang dinyatakan dalam Peraturan- Peraturan (b) Pendidikan
(Kurikulum Kebangsaan) 1997; (c) hobi dan rekreasi; (d) sukan dan permainan; (e)
badan beruniform; atau (f) apa-apa persatuan lain yang diluluskan oleh
Pendaftar. Rujuk Peraturan 4 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan
Sekolah) 1998 yang diterbitkan sebagai Warta Kerajaan Jil. 42/No. 11 (Tambahan
No. 41), Perundangan (A), P.U. (A) 196 bertarikh 21hb. Mei 998. STATUS
PERLAKSANAAN KOKURIKULUM Matlamat gerak kerja kokurikulum yang dikehendaki ialah
penyertaan oleh setiap orang murid yang belajar di sekolah kerajaan atau bantuan
kerajaan. Setiap murid hendaklah mengambil bahagian sekurang-kurangnya dalam
salah satu gerak kerja pasukan badan beruniform, satu kegiatan persatuan atau
kelab, dan satu kegiatan sukan atau permainan. {Rujuk Subperkara 5.1 dalam Surat
Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985 KP(BS) 8591/Jld. 11(29) bertarikh 2hb. Januari
1985}. Penyertaan semua guru adalah dikehendaki bagi mempastikan keberkesanan
pelaksanaan gerak kerja kokurikulum di sekolah. {Rujuk Subperkara 5.2 dalam
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985 KP(BS) 8591/Jld. 11(29) bertarikh 2hb.
Januari 1985}. Sekolah-sekolah, khususnya yang kurang kemudahan untuk
menjalankan gerak kerja kokurikulum ini hendaklah menggalakkan murid-muridnya
mengambil bahagian dalam membuat kerja-kerja amal untuk masyarakat setempat;
bergotong royong memperbaiki kawasan sekolah; dan dalam pelbagai gerak kerja
yang menekankan perpaduan kaum, ketatanegaraan, moral dan sebagainya yang sesuai
bagi pendidikan menyeluruh dan pembentukan keperibadian. (Rujuk Subperkara 5.3
dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985 KP(BS) 8591/Jld. 11(29) bertarikh
2hb. Januari 1985}. Penyertaan beramai-ramai tanpa ada unsur-unsur diskriminasi
atau paksaan dan yang bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan
Perlembagaan Negara. Rujuk Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 16/2000,
KP(BS)8591/Jld. XVI(16) ber- tarikh 13 Nov. 2000. Penyertaan murid dalam
aktiviti kokurikulum adalah wajib. Sehubungan itu kehadiran murid dalam aktiviti
kokurikulum mestilah direkodkan. Rujuk Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan
1/1986, KP(BS)8591/Jld. 11/(41) bertarikh 15 Januari 1986. Kegiatan kokurikulum
di sekolah boleh dilaksanakan dengan menggunakan penglibatan dan kepakaran
anggota-anggota masyarakat setempat. Rujuk Subperkara 5.2.3 dalam Surat
Pekeliling Ikhtisas Bilangan 4/1985, KP. 8591-11(32) bertarikh 2hb Februari
1985. PERUNTUKAN MASA KEGIATAN KOKURIKULUM Peruntukan masa untuk kegiatan
kokurikulum seperti dalam Warta Kerajaan No.5652 Jil. 11/Bil. 27 bertarikh 28
Disember 1967 adalah seperti berikut:- Sekolah Rendah TAHUN PERUNTUKAN MASA 3
dan 4 60 minit seminggu 5 & 6 120 minit seminggu TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB GURU
Guru Besar/Pengetua sebagai Penolong Pendaftar mempunyai kuasa untuk melantik
guru sebagai guru penasihat bagi menjalankan tugas- tugas dalam aktiviti
kokurikulum berdasarkan peruntukan yang sedia ada. Rujuk dalam Akta Pendidikan
1996 ( Akta 550 ), Bahagian 2.